Terlalu banyak laungan yang mengatakan Melayu tidak diberikan peluang yang setimpal dalam bidang pekerjaan. Ya. Ini adalah satu perkara yang benar. Tidak kira dalam sektor awam atau swasta, Melayu itu selalunya dipijak. Di sektor swasta, Melayu dipandang sebelah mata dan dilihat sebagai satu liabiliti. Di sektor awam pula, Melayu hanya boleh survive jika ada sifat mengampu dan menuruti kehendak ketua - ketua jabatan.
Tetapi, mengapakah agak kurang Melayu yang hendak mengubah persepsi ini ?
Hendak dikatakan didiskriminasi melalui peluang pendidikan peringkat tinggi, Melayu ada kuotanya. Hinggakan sampah juga boleh ada degree, justeru menyumbang kepada persepsi yang graduan Melayu produk Universiti Awam tidak ada nilai.
Hendak dikatakan tidak dibantu untuk berniaga, Melayu ada MARA, TEKUN, PNB dan pelbagai agensi kerajaan untuk membantu mereka mula berniaga. Tetapi birokrasi sang pegawainya, ditambah pula dengan kurangnya ilmu niaga didada orang Melayu menyebabkan hampir kesemua agensi ini tidak efektif dalam membangun kuasa ekonomi Melayu. Amat pelik bukan, apabila satu kaum majoriti yang menguasai pemerintahan dan merupakan kuasa beli terbesar, terpaksa bergantung kepada kaum minoriti dalam mendapatkan keperluan sehari - hari.
Jadi di mana silapnya ?
Silapnya Melayu apabila kita tidak bersifat kompetitif dalam segala hal, tidak bersifat 'mesti menang mahu menang', selalu mencipta alasan untuk menghalalkan kemalasan, tidak sanggup bekerja keras demi membangun ekonomi sendiri, suka cari jalan pintas, tidak mahu mengaku kelemahan diri dan mengubahnya, tidak mahu menambah ilmu akademik dan terus - terusan memilih untuk menjadi jahil, bertangguh - tangguh melakukan kebaikan dan penghijrahan, hasad dengki, dan tidak berlumba - lumba melakukan kebaikan kepada diri sendiri dan masyarakat.
Memang terlalu banyak persepsi negatif yang dilemparkan kepada kita sama ada benar atau tidak. Malang sekali kita tidak bertindak menangkis persepsi tersebut dengan mengambil tindakan, melainkan kita suka mencipta alasan dan menuding jari menyalahkan orang lain.
Jika kita benci dikatakan pemalas, mengapa kita tidak berusaha menunjukkan yang kita adalah yang paling rajin ?
Jika kita benci kepada kemiskinan, mengapa menyerah diri kepada takdir dan menyalahkan Tuhan atas kemiskinan kita, sedangkan kita tidak berdaya usaha sehabis baik untuk mengubah keadaan ekonomi kita ?
Jika kita benci dilabel sebagai bodoh dan jahil, mengapa tidak kita berusaha menambah ilmu, sedangkan menuntut ilmu itu satu jalan fi sabil lillah, dan sangat dimuliakan dalam Islam, sehinggakan orang yang menuntut ilmu dijadikan asnaf zakat ?
Jika kita benci dipandang rendah oleh bangsa lain di Tanah Melayu ini, mengapa kita tidak bersiap sedia mengeraskan hati, mental dan emosi supaya dapat bersaing dan menjadi yang terbaik berbanding mereka ?
Jika kita benci dipandang jumud dan ketinggalan, mengapa kita tidak mahu berusaha dan terus berusaha untuk maju ke hadapan ?
Bila lagi kita mahu berhenti menyalahkan orang lain dan mula untuk bermuhasabah mencari salah kita untuk diperbaiki ?
Muhasabah diri adalah satu perkara yang sangat dituntut dalam Islam.
Dengan bermuhasabah, maka diri dapat diperbaiki, ditambah baik dan seterusnya minda dapat bergerak cergas kerana yang empunya diri telah mula menggunakan akal untuk berfikir.
Menjadi Melayu yang bertamadun bukanlah satu angan - angan dan fantasi.
Melayu itu sudah bertamadun pada mulanya, dan tamadun tersebut hancur lenyap dek sifat kita yang hasad dengki, berpecah belah, suka makan rasuah, ingin kaya jalan mudah, suka bersenang lenang tanpa mahu berusaha, khianat dan tidak suka menyokong bangsa kita sendiri.
Kita terlalu mudah menghinakan bangsa Melayu kita, dan terlalu suka memuji - memuja bangsa yang menindas - menjajah bangsa kita. Kita menjadi satu bangsa yang memiliki yakin diri yang sangat rendah, sehinggakan kita menjadi pembenci terhadap susur galur Melayu kita.
Tidakkah Allah jadikan pelbagai bangsa didunia ini untuk kita belajar dan mengambil peringatan ?
Mengapakah apabila kita melihat bangsa lain, kita tidak mahu belajar dan mengambil peringatan, tetapi bertindak memuja - memuji tanpa usul periksa ?
Ayuh, bangunlah dan bangkitlah. Tinggalkan segala kejahilan dan majulah kedepan dengan kepala yang tegak dan tulang belakang yang kukuh, Buangkan segala tongkat yang membongkokkan diri dan paksa diri kita berdiri tegak tanpa bertongkat. Tidak siapa pula yang mengatakan perkara ini mudah.
Adalah terlebih mulia mati bersusah payah berusaha, dari mati bersenang lenang dijajah.
Sesungguhnya kemalasan itu bukanlah sifat seorang Muslim.
Ayuh paksakan diri kita untuk berhenti menyibuk dengan kesalahan orang lain, tetapi mula paksakan diri kita untuk bermuhasabah diri dan bergerak ke arah kemajuan dan kebaikan.
Seperti mana pepatah Jepun ada mengatakan :
Bahawa pada diri manusia itu ada 3 harta karun yang paling berharga, iaitu berlian, pedang dan cermin. Dan diantara ketiga - tiga ini, cerminlah yang paling berharga kerana ia boleh menunjukkan diri dan sifat sebenar diri pemegangnya.
Bahawa sang Cermin itu bukan munafik.
Marilah kita bersatu. Marilah kita bersama kehadapan. Tinggalkan sifat suka beralasan. Tinggalkan sifat suka menuding jari. Tinggalkan sifat suka merendah - rendahkan bangsa sendiri. Hapuskan hasad, dengki dan khianat.
Bersama kita membebaskan minda dan jiwa bangsa kita dari penjajahan yang berterusan. Supaya kita mendapatkan kebenaran, kerana kebenaran adalah hakmilik jiwa yang hidup, berfikir dan merdeka.
Majulah Melayu sebagaimana nenek moyang mu dahulu.
Majulah dan bersatulah Melayu !
Ayuh Bangkit dan Rampas semula Tanah Tumpahnya Darahmu !!
0 comments:
Post a Comment