Tanjak Emas

menulis....

Malaysia Tanah Tumpahnya Darahku


Sekian lama saya tidak menuliskan sebarang post ke blog ini.
Kesibukan dalam urusan seharian, ditambah pulak dengan kekeringan idea menyebabkan saya berhenti seketika memblog.

Kita baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia ke 58, 4 hari yang lepas.
Negara kita telah bebas dari penjajahan kuasa - kuasa asing selama 446 tahun.
Namun, disebalik kejayaan kita mengecapi nikmat memerintah negara kita selama 58 tahun, kita kini semakin tenggelam.
Jiwa kita tidak lagi merdeka,
Pemikiran bangsa Melayu kita masih lagi belum merdeka.
Masih dibelenggu dengan kejumudan, hasad dengki, kebencian dan sikap pecah belah.
446 tahun dijajah, dihina dan diperhambakan di Tanah Air kita sendiri oleh bangsa asing masih tidak lagi mampu untuk mengubah jiwa dan pemikiran bangsa kita.


Amat mengecewakan sekali apabila anak bangsa kita, yang pada satu masa dulu masih lagi ada maruah, ada lagi sifat untuk membela bangsa, pada hari ini sudah pun terkebelakang. Kemunduran akhlak dan mentaliti merajai anak bangsa generasi kini. Satu ketika dulu kita berbangga memiliki golongan bijak pandai dan pemikir yang boleh meneraju bangsa, tapi kini apa lagi yang kita ada ?

Kita sudah hilang tanah, kerana kebodohan kita menjualnya pada orang asing.
Kita sudah hilang akal, kerana kita tidak mau menggunakannya untuk maju dan ke depan.
Kita sudah hilang bangsa, kerana kononnya kita ingin masuk syurga, dan tok - tok alim berkata yang agama tidak perlukan bangsa.
Kita sudah hilang maruah, kerana kita menjual maruah kita hanya untuk menjadi barua kepada perasuah.
Kita sudah hilang agama, kerana kita menghalalkan agama untuk dijual, demi keuntungan harta dan kuasa politik.
Dan kita telah hilang negara, kerana Perdana Menteri kita sedang berusaha keras sedaya upaya untuk menggadaikan bumi Malaysia yang merdeka ini kepada kuasa - kuasa asing.

Apa lagi yang tinggal pada bangsa Melayu ?
Apa lagi yang boleh kita banggakan pada bangsa Melayu ?

Akuilah yang kita tidak lagi punya apa - apa.

Kita miskin. Kita mundur. Kita tertinggal dibelakang.
Orang yang mendatang tanpa sekayu kain pun digalas, kini punya tanah beratus ekar.
Orang yang datang miskin merempat, kini punya harta berkepuk di kampung asal.

Kita ?
Masih lagi mengemis bantuan kerajaan.
Masih lagi khayal berhibur.
Masih lagi berangan nak jadi artis.
Masih lagi bersifat meminta - minta.

Bila ditegur melenting.
Tapi tak sedar orang lain pandang hina pada bangsa kita.
Bila bangsa kita orang pandang rendah, maka agama kita pun orang pandang keji.
Ini realiti. Ini persepsi.

Oleh itu sedarlah kita semua.
Sedarlah yang kita takkan ke mana, melainkan terus ke bawah kalau kita tidak berubah.
Dan perubahan itu bermula dengan diri kita sendiri.
Tak perlu sibuk untuk mengubah dunia, kerana dunia ini ada penjaganya.
Ubahlah diri kita dulu.
Sibukkan diri kita dulu.
Muhasabahkan diri kita dulu.
Jangan sibukkan mengira dosa orang.

Bangunlah anak bangsa Melayu.
Sedarlah dari lena.
Ingatlah, yang kita ini bangsa bermaruah.
Bangsa yang punya kekuatan.
Bangsa yang punya impian.
Bangsa yang punya keberanian.
Jangan pula kita cuba - cuba untuk melupakan sejarah bangsa Melayu kita.
Berdiri tegak dan pandanglah ke hadapan.

Bangkitlah Melayu di Malaysia !

Next PostNewer Post Previous PostOlder Post Home

0 comments:

Post a Comment