Assalamualaikum dan salam sejahtera pada saudara - saudari pembaca sekelian,
Semoga kesemuanya berada dalam keadaan sejahtera dan dalam perlindungan Allah sentiasa.
Pada minggu sebelumnya, umat Islam digegarkan dengan hal perbelanjaan badan kebajikan Islam yang bernilai besar di luar negara atas sebab perlaksanaan program. Kemudian, kita pula dimaklumkan yang kelas KAFA di negeri Kedah terpaksa ditutup kerana tidak cukup biaya membayar gaji para guru yang bertugas.
Sebenarnya apa yang telah terjadi kepada kita, umat Islam pada hari ini ?
Saya mengambil pandangan dari 2 sudut, mengenai apa yang berlaku ini.
Pandangan Pertama :-
Tidak berpuas hati kerana merasakan yang sumbangan yang telah dibuat seolah - olah telah diselewengkan oleh pemegang Amanah dan kemudiannya menarik semula sumbangan yang telah dibuat secara berkala (potongan gaji). Seterusnya, mencadang kepada para penyumbang lain untuk turut sama menghentikan sumbangan sebagai langkah protes terhadap perbelanjaan kurang berhemah ini.
Pandangan Kedua : -
Menganggap ini sebagai satu langkah serangan untuk melemahkan kredibiliti dan institusi kebajikan Islam. Serangan ini dibuat untuk memburuk - burukkan Islam dan institusi Islam kerana umum tahu yang paling perlukan bantuan kebajikan adalah umat Islam. Kemudiannya, penerangan mula dikeluarkan untuk melindungi dan menjustifikasi perbelanjaan yang menjadi isu tadi. Seterusnya, dikaitkan pula dengan isu survival Melayu - Islam tanpa adanya badan kebajikan tersebut.
Ini adalah rumusan pandangan yang saya dapati berlegar di media utama dan media sosial. Walaupun begitu, sepertinya kelihatan Pandangan Pertama mempunyai pengikut yang ramai dari kalangan Melayu - Islam. Dan yang lebih meningkatkan kemarahan adalah apabila ada yang mengatakan perbelanjaan itu sebagai 'tak apa' kerana ianya guna wang hasil perniagaan yang dijalankan oleh institusi tersebut. Tidak diterangkan perniagaan apa, dan yang paling penting sekali, badan tersebut adalah badan kebajiakan yang mentadbir sumbangan orang ramai.
Sebagai seorang Muslim yang berbangsa Melayu, saya merasa sangat malu terhadap perkara ini.
Kita sudah semakin jauh dari moral dan akhlak.
Bayangkan, dikala umat Islam dihimpit kesempitan, ada yang tak bertempat tinggal, atau tinggal di tempat yang kurang selesa, kurang makan pakai, kurang belanja sekolah, tiba - tiba kita dengar pula badan kebajikan Islam ke luar negara untuk jalankan kursus kahwin. Tak rasa marah ke ?
Yang tak makan di Malaysia tak dibantu, yang nak bernikah di luar negara pulak yang disibukkan. Logik ke macam tu ??
Kemudian ada pulak yang datang membela. Katanya, ini perlu untuk bantu anak - anak kita yang tengah belajar di luar negara untuk mudahkan pernikahan, sebab dah pegi kursus kahwin.
Ya syeikh, hujah bangang apa yang kau keluarkan ni ?
Hang tau ka tak, kami di Johor ni, blajaq munakahat umoq 14 tahun ooo..
Bayaq yuran skolah pun RM 30 ja untuk blajaq semua, tauhid, munakahat, faraid, jinayat, fiqh, akhlaq dan lain - lain.
Pasepa hang spend sampai RM 400, 000 untuk ajaq orang munakahat ????
Kami blajaq di Johor RM 30, hang blajaq di Paris RM 400, 000 ??
Ni Islam hang lain sikit dari kami ka ?
Inilah penghinaan terhadap Islam dan prinsip - prinsipnya.
Umat terbiar, harta sumbangan tak diurus dengan bertanggungjawab, pecah amanah.
Jadi sekarang, kita sebagai umat Islam, apa tindakan kita ?
Cegah dengan tangan, atau cegah dengan hati dan doa ?
Sama - sama kita fikirkan.
saya pon kekadang heran jugak. duit banyak, surau masjid kotak tabung duit penuh selalu.. tapi bila datang korban dan sumbangan pada fakir miskin masih minta derma dari orang ramai...kenapa ya?
ReplyDeletetakkan renovate masjid tak abis abis?
Assalamualaikum tuan,
DeleteInilah perkara yang selalu saya utarakan kepada sesiapa sahaja yang selalu ke Masjid / Surau. Tak usahlah kita nak temberang, kalau sekali surau mintak derma, berebut orang kita menghulur tanpa berkira sebabkan surau yang mintak bantuan. Tetapi, bila ke surau mintak bantuan kewangan, macam - macam hal dan prosedur.
Kelemahan pengurusan dana masjid / surau ni tak lain tak bukan sebab yang jadi Committee ni lemah dalam Ilmu Pengurusan dan Pentadbiran Kewangan. Seharusnya kuliah ilmu macam ni lah yang diadakan oleh pihak masjid/surau secara percuma dengan duit sumbangan orang ramai, disamping kuliah ilmu Islam itu sendiri. Pernah juga saya usulkan, tetapi barangkali tidak sesuai dengan pandangan orang ramai maka usulan itu akhirnya mati sendiri.
Dalam masa yang sama, Jawatankuasa Masjid/Surau ni banyak yang bersifat reaktif dari proaktif. Sebab tu juga terjadi masalah sebegini. Ada masjid yang saya pernah lihat akaunnya memiliki hampir RM 100K hasil derma yang dikumpul selama bertahun tapi tak diguna, dan bila saya tanyakan, katanya orang masjid takde idea nak guna duit tu buat apa. Sudahnya, saya usulkan duit tersebut gunakan sikit untuk setup kelas Tuisyen percuma di masjid untuk anak - anak sekolah, tak kira bangsa tak kira agama. Alhamdulillah, berjaya. Tapi tak pasti masih berjalan lagi atau tak sebab dah lama tak berziarah ke sana.
Masjid / Surau perlukan reformasi barangkali ?